|
Umno Tidak Relevan Untuk
Selamatkan Bangsa, Agama & Tanahair
Interbiu
Oleh TARMIZI MOHD JAMMuqqadimah
Orang Melayu jelas menolak Umno dalam pilihanraya umum lalu. Mereka tidak yakin lagi
pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad. Halatuju Umno kini sudah menyimpang jauh dari matlamat
asal penubuhannya. Apa yang jelas Umno sudah dirosakkan dari kerosakan dasar dan
prinsipnya. Perjuangan terhadap bangsa, tidak lagi mencipta teras malah agama terus
dipermain-mainkan untuk mengabui mata umat Islam. Ikuti pandangan ringkas tokoh PAS yang
berjaya menumbangkan Menteri Hal Ehwal Pengguna, Datuk Megat Junid Megat Ayub di Parlimen
Parit iaitu YB Ustaz Basir Rahmat yang sempat
diinterbiu oleh Editor, Tarmizi Mohd Jam di ruang lobi parlimen baru-baru ini untuk makalah
isu MEMO: Umno 2000 Untuk Dijual? Tarmizi Mohd Jam: Apa komen YB Ustaz terhadap Umno setelah parti itu ditolak oleh orang-orang Melayu dalam pilihanraya umum lalu?
Ustaz
Basir Rahmat:
Nampaknya, Umno dibawah teraju Dr. Mahathir sudah kelihatan letih, seolah-olah menunggu
masa untuk “rebah” menyembah bumi. Dr. Mahathir telah berjaya membawa Umno jauh
menyimpang dari landasan perjuangan asal. Tidak sebagaimana dulu, Umno kini kelihatan
muflis dari segi idea perubahan dan pembangunan ummah. Dalam kamus Umno sudah tidak ada
rangka kerja yang sesuai untuk dijadikan model pembangunan rakyat. Kamus terkini Umno
dipenuhi istilah-istilah kronisme, nepotisme, rasuah, politik wang, penyelewengan, salah
laku, keruntuhan akhlak dan moral, gejala sosial. Malah hampir semua istilah pemusnah
terkumpul dalam Umno hari ini.
Tarmizi Mohd Jam:
Kemenangan besar PAS
baru-baru ini, sekaligus telah berjaya menenggelamkan kepercayaan rakyat terhadap
“khurafat akhbar” kononnya hanya Umno sahaja yang boleh memerintah negara ini…
Memang, Dr. Mahathir seringkali mendabik dada mengatakan
kononnya hanya Umno satu-satunya parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Umno
sahaja yang boleh memerintah negara ini. Dia kata hanya Umno pejuang bangsa Melayu. Umno
juga adalah parti Islam terbesar dalam negara dan ketiga di dunia. Itu kata dia. Umnolah
juga yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara. Lagu tema Setia yang sering
didendangkan melalui media elektronik milik kerajaan saban hari jelas menyimpulkan bahawa
perjuangan kerajaan Malaysia yang kini diterajui oleh Umno adalah untuk kepentingan agama,
bangsa dan negara.
Pemimpin Umno dulu dan sekarang berjaya menanamkan kepercayaan
ini. Kita menggelarnya sebagai “khurafat akhbar” atau fahaman tahyul yang direka-reka
untuk kepentingan politik mereka. Seolah-olah
parti lain tidak berkemampuan untuk memerintah. Hanya Umno sahaja yang boleh!
Apa yang kita tengok, setelah hampir 46 tahun memerintah, Umno
semakin jelas gagal mencapai apa yang diperjuangkannya selama ini. Malah semakin banyak
bukti-bukti bahawa perjuangan Umno dibawah Dr. Mahathir kini sudah jauh menyimpang
daripada mempertahankan agama, bangsa dan tanahair.
Tarmizi Mohd Jam: Benarkah Umno gagal
bertindak atau berperanan untuk membela Islam di negara ini?
Ustaz
Basir Rahmat:
Terdapat banyak petanda untuk membuktikan kegagalan Umno dalam
hal ini. Sikap dan pandangan pemimpin Umno terhadap hukum Islam ada yang terang-terang
menolak pelaksanaan hukum syariah di Kelantan. Malah dalam sistem hidup keseluruhannya,
Umno mencabul kemuliaan hari Jumaat sebagai cuti mingguan malah tidak pernah meletakkan
kerja-kerja memartabatkan agama sebagai agenda perjuangan. Sikap jengkel Dr. Mahathir
terhadap ulama juga tidak boleh disembunyikan lagi. Bagi Dr. Mahathir,
agama bukan hanya milik ulama. Barangkali dia mahu, dia juga digelar ulama, kerana
ulama baginya bukan seorang yang alim dalam bidang agama, tetapi juga meliputi
bidang-bidang yang lain. Hakikat ini, mendorong Dr. Mahathir mengeluarkan fatwa dan
tafsiran sendiri yang kerap bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan, beliau pergi lebih
jauh dengan menghina beberapa aspek ajaran
Islam itu sendiri.
Pada saya, Umno sudah tidak ada ruang untuk menyuarakan Islam
dari dalam. Kalau ada orang yang mengatakan
masih ada, orang itu sebenarnya telah menipu diri sendiri dan sudah “ketinggalan
keretapi”. Kalau ulamanya masih adapun, dia diperintah dan menjadi pak turut kepada
pemimpin sekular. Bercakap hanya dalam ruang lingkup yang dipersetujui oleh pemimpin
tertinggi parti, sekalipun terpaksa menyembunyikan kebenaran.
Sejarah membuktikan bahawa Pengerusi Biro Agama Umno, Tuan Haji
Ahmad Fuad, seorang ulama yang menentang penubuhan Loteri Kebajikan Masyarakat,
terpelanting keluar dari Umno sehingga memaksa beliau menubuhkan PAS bagi meneruskan
perjuangan.
Kalau di luar Umno pula, tokoh ulama dikekang. Masjid dan surau
cuba “ditutup” dengan mengatakan ia menjadi sarang PAS. Tengok apa yang berlaku
terhadap bekas Mufti Selangor, Ustaz Ishak Baharom yang mempertahankan tindakan JAIS
menahan tiga peserta ratu cantik. Bahkan para ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam juga
turut ditapis agar bercakap hanya dalam ruang lingkup yang hanya diluluskan oleh pemimpin
Umno. Pendekata, Umno berusaha sedaya mungkin agar bukan sahaja partinya, malah
kerajaannya dan televisyennya tidak bersuara dengan suara Islam sebenarnya. Tarmizi Mohd Jam: Isu murtad patutnya ditangani secara serius oleh Umno. Tetapi nampaknya, mereka cuba mengelak dan memberikan pelbagai alasan. Mengapa ini terjadi? Sedangkan mereka mendakwa perjuangannya untuk menegakkan agama?
Ustaz
Basir Rahmat:
Umno sebenarnya tidak sensitif. Tidak ada penghinaan yang lebih
dahsyat dan menyayat perasaan umat Islam selain daripada gejala kemurtadan yang
berleluasan sekarang. Pernah Setiausaha Pemuda Umno dulu, Saifuddin Nasation dalam akhbar Berita
Harian bertarikh 22 Mac 1998 mendedahkan bahawa kegiatan memurtadkan umat Islam
terutamanya perempuan dilakukan secara terancang oleh kumpulan tertentu melalui saluran
mahkamah dengan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah perkara “kebebasan
beragama”. Soal murtad, dibuat macam perkara remeh-temeh. Mereka mempermain-mainkan
sahaja…
Tarmizi Mohd Jam:
Bukankah PAS pernah menyuarakan hal ini dalam
Parlimen … Ustaz Basir Rahmat: Ya! Memang ada. PAS melalui Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga pernah mengemukakan usul di Parlimen agar dibahaskan perkara yang berkaitan dengan murtad tetapi Parlimen ayng dikuasai Umno itu telah menolak mentah-mentah usul berkenaan atas alasan ianya tidak perlu disegerakan. Cubaan kedua PAS ialah dengan mengemukakan lima Rang Undang-Undang Murtad untuk diluluskan Parlimen tetapi ditolak juga. Apa yang nyata, tidak ada seorangpun menteri yang beragama Islam dalam Umno rela tampil mengemukakan rang undang-undang berkenaan untuk dibahaskan.
Dalam hal ini, ternyata pemimpin Umno sehingga kini gagal
berbuat apa-apa bagi membendung gejala murtad dari berterusan. Sebaliknya, undang-undang
yang memberi ruang untuk Islam dimurtadkan “secara sah” , terus dijunjung oleh mereka.
Malah mereka tidak malu menolak usaha untuk mewujudkan
undang-undang anti-murtad, dengan menyatakan kononnya “ianya tidak perlu
disegerakan”. Tarmizi Mohd Jam: Asas bagi perjuangan Umno adalah untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Bagaimana YB Ustaz melihat Umno hari ini? Apakah perjuangan itu menepati pada realiti sebenar atau hanya menjadi “topeng” untuk mengelirukan orang Melayu bagi mendapatkan kuasa dan seterusnya menguasai “kekayaan”?
Ustaz
Basir Rahmat:
Pada prinsipnya, Umno adalah parti yang memperjuangkan
kebangsaan Melayu. Betapa taksubnya Umno kepada istilah Melayu, sehingga ia merasakan
hanya Umno sahaja, satu-satunya parti orang Melayu yang benar-benar memperjuangkan
martabat bangsa Melayu di negara ini. Sebab itu, pemimpin-pemimpin Umno sering mendakwa
kononnya jika Umno/BN kalah dalam pilihanraya, kuasa politik orang Melayu akan terhakis.
Memang agenda utama Umno adalah untuk mempertahankan ketuanan
Melayu. Tetapi sejarah telah menunjukkan
ianya pernah gagal. Kuasa pegangan politik bangsa Melayu, sama ada diperingkat Persekutuan
mahupun negeri-negeri, sebenarnya makin merosot. Ini berlaku apabila Umno menyerahkan
kerusi yang asalnya ditandingi oleh calon Melayu kepada parti kerabat BN yang bukan
Melayu. Contohnya dalam pilihanraya umum 1990 sahaja, sebanyak 37 kerusi parlimen dan Dun
majoriti pengundinya Melayu telah diserahkan oleh Umno kepada parti kerabatnya untuk
ditandingi oleh calon-calon bukan Islam. Jumlah itu termasuklah 13 kerusi parlimen dan 24
kerusi Dun, dan ini tidak termasuk kerusi-kerusi seumpama itu yang sudahpun ditandingi
calon bukan Melayu dari BN sebelum ini.
Apa yang penting bagi Umno, ialah untuk mendapatkan “kuasa”
tanpa menghiraukan jumlah kerusi yang telah diberikan kepada rakannya itu, tidak akan
dapat diambil balik oleh mereka. Jika benar, Umno mahu pertahankan ketuanan Melayu, kawasan parlimen dan
Dun Melayu tidak sepatutnya diserahkan kepada orang bukan Melayu.
Tarmizi Mohd Jam:
Apakah YB Ustaz setuju,
bahawa Umno sebenarnya telah banyak menghakis Hak-Hak Istimewa Orang Melayu… Ustaz Basir Rahmat: Penghakisan Tanah Rizab Melayu yang begitu berleluasa dan tidak diganti semula, adalah bukti yang tidak mampu disembunyikan oleh Umno. Ini kerana Umno seolah-olah “merestui” Hak Istimewa Orang Melayu termasuklah Tanah Rizab Melayu ini dihapuskan. Itulah yang dapat difahami dari mesyuarat mereka beberapa tahun dulu. Dr. Mahathir pernah menghina kewujudan Tanah Rizab ini dan Hak Istimewa Orang Melayu, kemudian diberi tepukan gemuruh oleh para perwakilan Umno. Kata Mahathir, konsep Tanah Rizab ini akan menjadikan orang Melayu sama taraf dengan Red Indians di Amerika Syarikat yang terpaksa hidup atas belas ihsan Indians Reserves.
Keterlanjuran Mahathir mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu
juga suatu yang sangat terserlah. Apabila
imuniti mereka dicabut, Raja-Raja sudah tidak ada kuasa, malah terpaksa tunduk kepada
“nasihat” PM atau MB masing-masing. Perjuangan Umno untuk mendaulatkan Bahasa Melayu
juga sebenarnya “cakap tidak serupa bikin”. Stesen TV dan radio semakin galak
menggunakan bahasa selain Melayu sebagai medium komunikasi. Universiti dan Kolej pula
digalakkan menggunakan Bahasa Inggeris.
Perlakuan-perlakuan tidak bertanggungjawab Umno terhadap bangsa
Melayu yang menjadi teras perjuangannya itu, menyebabkan semakin ramai orang Melayu hilang
kepercayaan terhadap Dr. Mahathir dan parti Umno. Perjuangan Umno sebenarnya sudah tidak
relevan lagi dengan pembelaan bangsanya sendiri. Maka tidak hairanlah, dalam pilihanraya
lalu, orang Melayu mula menolak Umno dan mendekati PAS khususnya. Saya percaya, dalam
pilihanraya umum akan datang juga, BA akan tetap menjadi alternatif kepada rakyat untuk
meneruskan kesinambungan pemerintahan negara ini. Umno sebenarnya sudah hilang sakti dari
lampu aladdinnya. |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
TheCounter.Com |